Kenapa Aku Hidup Di Bumi Ini?

Ditulis oleh Zulhizam ibnu Hashim
Shared on Aug 13, 2017

بسم الله الرحمن الرحيم

Soalan di atas mungkin tidak pernah terlintas di fikiran ramai manusia. Sepanjang hidup, mereka tidak pernah bertanya kenapakah mereka dilahirkan di atas muka bumi ini dan untuk tujuan apa mereka hidup.

Walaupun soalan tersebut amat perlu diberikan penekanan kerana ia akan menentukan hala tuju seseorang, namun tidak ramai yang mengambil peduli. Kealpaan ini berpunca daripada kurangnya didikan agama dan gaya hidup yang hanya mementingkan kejayaan di alam yang fana’ (akan binasa) ini.

Untuk memberikan jawapan yang betul bagi persoalan di atas, kita perlu meneliti semula sejarah penciptaan manusia yang diceritakan Allah di dalam kitabNya yang suci.

Kepada siapakah kita hendak mengetahui jawapannya kalau tidak merujuk kepada pencipta kita? Di sinilah pentingnya kehidupan seorang muslim dihubungkan dengan perutusan Pencipta mereka yang ada di dalam Al-Qur’an.

Allah تبارك وتعالى tidak mencipta langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya dengan sia-sia. Ada matlamat yang besar daripada penciptaan tersebut. FirmanNya :

وما خلقنا السماوات والأرض وما بينهما لاعبين (38) ما خلقناهما إلا بالحق ولكن أكثرهم لا يعلمون (39)

[الدخان]

Dan Kami tidak mencipta langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya secara bermain-main. Tidaklah Kami mencipta kedua-duanya melainkan dengan kebenaran akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui
Surah ad-Dukhan, Ayat 38-39

Di dalam ayat yang lain Allah menyatakan :

أفحسبتم أنما خلقناكم عبثا وأنكم إلينا لا ترجعون (115) فتعالى الله الملك الحق لا إله إلا هو رب العرش الكريم (116)

[المؤمنون]

Apakah kamu menyangka sesungguhnya kami mencipta kamu dengan sia-sia dan kamu tidak akan kembali kepada Kami? Maha Tinggi Allah yang merupakan Penguasa yang benar. Tiada ilah melainkanNya yang merupakan Rob bagi Arasy yang mulia
Surah al-Mukminun, Ayat 115-116

Ayat-ayat di atas mengingatkan kepada manusia agar memikirkan tentang persoalan yang disebutkan di awal tadi iaitu kenapa mereka berada di atas muka bumi ini?

Ya! Pencipta mereka telah menyatakan bahawa Dia tidak mencipta alam ini dengan sia-sia atau sekadar bermain-main. Ada matlamat yang murni. Inilah yang perlu diberikan perhatian oleh manusia.

Matlamat inilah yang Allah nyatakan di dalam FirmanNya :

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون

 [الذاريات : 56]

Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepadaKu
Surah az-Zariyaat, Ayat 56

Perutusan yang jelas daripada Pencipta kita. Dia tidak mencipta manusia melainkan untuk beribadat kepadaNya. Maka selayaknya bagi hamba Allah, kita memahami matlamat tersebut dengan sebaik mungkin.

Kemudian kita menunaikan tanggungjawab tersebut sebagai mana yang dituntut oleh Pencipta kita. Tanggungjawab inilah yang akan ditanyakan kepada kita sewaktu kita kembali kepadaNya di hari kiamat kelak adakah kita telah menunaikannya.

Apakah kita sudah bersiap sedia dengan jawapannya?

You might like

© 2024 Dengar Sunnah - WordPress Theme by WPEnjoy
%d bloggers like this: