Pengenalan Ilmu Tauhid

Ditulis Oleh Zulhizam ibnu Hashim
Shared on Aug 12, 2017.

بسم الله الرحمن الرحيم

Ilmu tauhid merupakan ilmu yang terpenting di dalam kehidupan manusia. Ini kerana Allah عز وجل tidak mencipta manusia melainkan untuk mentauhidkanNya. Kerana inilah Allah menurunkan kitabNya dan mengutuskan para rasul. Kerana ini jugalah manusia yang engkar dikalangan umat terdahulu dibinasakan oleh Allah disebabkan dosa syirik yang mereka lakukan.

Oleh itu pembelajaran ilmu ini mesti diberikan penekanan demi kebaikan manusia di hari kemudian. Mengabaikannya bererti mengabaikan hak pencipta mereka iaitu Allah عز وجل.

 

Pengertian Tauhid

Perkataan tauhid dari sudut bahasa membawa makna menjadikan sesuatu itu satu. Di dalam konteks aqidah seorang muslim ilmu tauhid membawa erti kepercayaan mereka bahawa ciri-ciri tertentu merupakan hak Allah semata-mata.

Ertinya mereka berpegang bahawa ciri ciri tersebut hanya satu-satunya milik Allah. Tiada yang berkongsi atau menyamaiNya. Tiada yang setanding denganNya. Perkara inilah yang mesti dipelajari dan difahami oleh setiap orang yang mengaku beragama Islam.

 

Kepentingan Tauhid

Tauhid merupakan makna yang terkandung di dalam kalimah syahadah yang dilafazkan oleh seorang Muslim yang mana tidak sah keislamannya melainkan dengan dia bersaksi dengan kalimah ini.

Sebagai mana yang dinyatakan di atas, Allah mengutuskan para rasul untuk mengajak manusia mentauhidkanNya. FirmanNya :

وما أرسلنا من قبلك من رسول إلا نوحي إليه أنه لا إله إلا أنا فاعبدون

[الأنبياء : 25]

“Dan Kami tidak utuskan sebelum daripada kamu seorang rasul melainkan Kami wahyukan kepadanya sesungguhnya tiada ilah (yang benar) melainkan Aku. Maka beribadatlah kepada Aku”
Surah al-Anbiya, Ayat 25

Ayat di atas menerangkan secara jelas tugas utama para rasul iaitu mengajak manusia kepada kalimah tauhid لا إله إلا الله dan melarang manusia daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan tauhid iaitu syirik.

Di dalam Al-Qur’ān banyak ayat yang menceritakan kisah perjuangan para rasul. Perjuangan mereka yang bermula dengan mengajak manusia kepada mentauhidkan Allah. Firman Allah menceritakan perjuangan nabi Nuh عليه السلام :

لقد أرسلنا نوحا إلى قومه فقال يا قوم اعبدوا الله ما لكم من إله غيره إني أخاف عليكم عذاب يوم عظيم

[الأعراف : 59]

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya lalu dia berkata : wahai kaumku beribadatlah kepada Allah. Tiada bagi kamu ‘ilah’ selainNya. Sesungguhnya aku bimbang azab yang besar akan menimpa kamu (kerana mensyirikkan Allah)
– Surah al-A’rof, Ayat 59

Di dalam ayat yang lain berkaitan perutusan nabi Hud عليه السلام Allah menyatakan :

وإلى عاد أخاهم هودا قال يا قوم اعبدوا الله ما لكم من إله غيره أفلا تتقون

[الأعراف : 65]

“Dan kepada kaum ‘aad (Kami utuskan) saudara mereka Hud lalu dia berkata : wahai kaumku beribadatlah kepada Allah. Tiada bagi kamu’ ilah ‘ selainNya. Kenapakah tidak kamu bertaqwa”
Surah al-A’rof, Ayat 65

Demikianlah ke semua para rasul diutuskan Allah untuk mengajak manusia kepada kalimah yang agong ini. Kerana kalimah inilah juga Allah mencipta syurga dan neraka.

Sesiapa yang menerima dan beriman dengannya maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga Allah pada hari kiamat kelak. Sesiapa yang menolaknya dan kufur dengan kalimah tersebut maka dia akan disumbat ke dalam neraka Allah. Firman Allah :

لقد كفر الذين قالوا إن الله هو المسيح ابن مريم وقال المسيح يا بني إسرائيل اعبدوا الله ربي وربكم إنه من يشرك بالله فقد حرم الله عليه الجنة ومأواه النار وما للظالمين من أنصار

[المائدة : 72]

Sesungguhnya telah kufurlah orang-orang yang mengatakan : sesungguhnya Allah adalah Al-Masih ibnu maryam (sedangkan) Al-Masih mengatakan wahai bani Israel beribadatlah kepada Allah yang merupakan Robku dan juga Rob kamu. Sesungguhnya sesiapa yang mensyirikkan Allah maka Allah haramkan ke atasnya syurga dan tempatnya adalah neraka. Tiada bagi orang-orang yang zalim penolong-penolong”
– Surah al-Maidah, Ayat 72

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Utsman رضي الله عنه :

من مات وهو يعلم أنه لا إله إلا الله دخل الجنة

Sesiapa mati dalam keadaan dia tahu bahawa tiada ilah yang benar melainkan Allah maka dia masuk syurga” – Riwayat Muslim

Di dalam hadis abu Dzar Baginda bersabda:

مَنْ مَاتَ مِنْ أُمَّتِي لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا دَخَلَ الْجَنَّةَ 
 “Sesiapa yang mati dikalangan umatku dalam keadaan tidak mensyirikkan sesuatu pun dengan Allah maka dia masuk syurga”
Riwayat al-Bukhori

Kesimpulannya ayat-ayat Al-Qur’ān dan hadis yang banyak menerangkan tentang pentingnya tauhid dan bahayanya syirik.

Maka semestinya orang yang beriman mengambil berat tentang ilmu ini demi kejayaan buat mereka di hari akhirat.

 

Makna ‘ilah’

Kalimah ini merupakan kalimah yang sering kita sebutkan dan ia merupakan sebahagian daripada isi kandungan syahadah yang kita lafazkan iaitu لا إله إلا الله.

Memahaminya merupakan perkara pokok di dalam agama Islam. Jahil tentang maknanya menjadikan manusia tidak dapat membezakan di antara keimanan dan kekufuran serta tauhid dan syirik.

Sering kita jumpa di dalam terjemahan Al Quran atau hadis para penulis menyatakan maknanya adalah ‘tuhan’. Begitu juga kalimah Rob ( رب) juga diterjemahkan dengan makna tuhan. Timbul persoalan apakah kedua-duanya sama atau mempunyai makna yang tersendiri?

Maka di sinilah titik tolak yang akan menentukan sejauh mana kita memahami kalimah tauhid dan agama islam yang dibawa oleh nabi kita Muhammad صلى الله عليه وسلم.

Walaupun kedua-dua kalimah ini (Rob dan Ilah) merujuk kepada yang satu iaitu Allah, namun pemahaman tentang makna kedua-duanya amat penting.

Kalimah ( إله ) membawa makna ( معبود ) ertinya yang dilakukan ibadat kepadanya. Apabila kita menyebut ‘La ilaha illAllah’ ertinya ialah tiada yang berhak dilakukan ibadat kepadanya melainkan Allah.

Ia mengandungi penyaksian kita bahawa sembahan selain Allah adalah batil. Yang layak dilakukan ibadah kepadanya hanyalah Allah sahaja.

You might like

© 2024 Dengar Sunnah - WordPress Theme by WPEnjoy
%d bloggers like this: