Mencari Jalan Yang Lurus

Ditulis Oleh Zulhizam Ibnu Hashim
Shared on October 17, 2017.

بسم الله الرحمن الرحيم

Kehidupan ini penuh dengan rintangan dan ujian. Semenjak Nabi Adam diperintahkan agar meninggalkan syurga dan turun ke bumi, kehidupan yang penuh liku terpaksa ditempuhi manusia.

Kenapa tidak?

Kehidupan di dalam syurga dipenuhi dengan nikmat yang tiada tolok bandingnya. Kehidupan di dunia dilingkari kepenatan dan susah payah.

Nikmat yang dikecapi pun teramat kecil berbanding dengan nikmat yang ada di syurga.

Ini ditambahkan lagi dengan wujudnya makhluk yang memusuhi Adam dan keturunannya iaitu Iblis.

Makhluk yang angkuh dan menyimpan dendam kesumat kepada bani Adam. Dia berjanji hendak menyesatkan manusia dan menjadikan mereka sebagai pengikutnya.

Firman Allah عز وجل :

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ (82)
إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ ٱلْمُخْلَصِينَ (83)
[ص : 82-83]
“Iblis berkata: demi keperkasaan Kamu, nescaya aku akan sesatkan mereka semua melainkan hamba- hambaMu yang diberikan keikhlasan” – Surah Shaad: 82-83

Allah yang Maha Mengasihani tidak membiarkan manusia begitu mudah menjadi mangsa kejahatan iblis. Dia mengutuskan Rasul dan menurunkan kitab untuk memandu manusia ke jalan yang lurus agar mereka selamat daripada tipu daya syaitan.

Dia mengajar manusia memohon kepadaNya agar ditunjukkan kepada mereka jalan yang lurus tersebut.

Doa tersebut disebutkan di dalam surah yang paling agong di dalam Al-Quran iaitu Surah Al- Fatihah. Kita menyebutnya setiap rakaat di dalam solat iaitu:

اهدنا الصراط المستقيم

“Tunjukkan kepada kami jalan yang lurus”

Alangkah mulianya pencipta kita. Dia maha mengasihani kepada hambaNya lalu mengajar mereka agar memohon petunjuk dariNya demi kebaikan mereka. Tanpa hidayat dan taufiq dariNya kita akan menjadi mangsa tipu daya iblis dan syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia.

Oleh itu manusia yang bijak adalah manusia yang mengambil berat tentang petunjuk Robnya.

Yang berusaha untuk selamat daripada menjadi mangsa kejahatan iblis dan kuncunya. Dia berusaha mencari kebenaran yang ada di dalam kitab Allah dan ajaran Nabinya.

Siapakah yang mahu menjadi mangsa musuhnya?

Siapakah yang mahu dihumban ke dalam neraka dan azab yang pedih?

Firman Allah:

إِنَّ ٱلشَّيْطَٰنَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَٱتَّخِذُوهُ عَدُوًّاۚ إِنَّمَا يَدْعُوا حِزْبَهُۥ لِيَيَدْعُوا مِنْ أَصْحَٰبِ ٱلسَّعِيرِ [فاطر : 6]

“Sesungguhnya syaitan merupakan musuh bagi kamu maka jadikanlah dia musuh kamu. Hanya sesungguhnya dia menyeru pengikutnya agar menjadi sebahagian daripada penghuni neraka” – Surah Fathir: 6.

Maka, apakah jalan yang lurus tersebut?

Bersambung…

You might like

© 2024 Dengar Sunnah - WordPress Theme by WPEnjoy
%d bloggers like this: