MENGENAL ALLAH

Ditulis Oleh Zulhizam ibnu Hashim
Shared on Aug 21, 2017.

بسم الله الرحمن الرحيم

Sebagai seorang yang beragama Islam, tanggungjawab utama bagi kita adalah mengenal Allah yang kita sembah. Pengetahuan tentangnya merupakan kewajipan terpenting.

Ikatan iman akan kuat apabila manusia mempunyai ilmu pengetahuan tentang Allah. Sebaliknya ikatan tersebut akan longgar dan mungkin terputus kerana kejahilan merupakan lubang utama bagi syaitan untuk menyesatkan manusia.

Masyarakat kita mengatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Ia adalah benar. Kita tidak akan merasai keagungan dan kebesaran Allah melainkan mempunyai pengetahuan tentangNya. Apabila merasai kehebatan dan kebesaranNya maka akan lahirlah cinta sejati.

Cinta yang menjadikan generasi terawal sanggup berkorban dengan jiwa raga dan harta benda demi mencari keredhaanNya. Di ruang yang sempit ini saya paparkan serba sedikit panduan ringkas yang membantu pembaca mengenal Allah ان شاء الله .


Sekiranya kita ingin lebih mengenali Pencipta kita maka Al-Quran dan hadith merupakan sumber utama bagi aqidah seorang muslim. Semoga usaha yang kecil ini diberkati dan menjadi amalan yang soleh bagi penulisnya.

 

Perkara pokok yang mesti diketahui oleh manusia tentang Allah adalah:

1. Mempercayai kewujudanNya.

Dia merupakan tuhan bagi segala yang wujud di alam ini. Ertinya Dia merupakan pencipta dan pentadbir sekalian alam. Fitrah manusia merasai kewujudan pencipta dan pentadbir alam ini.

Tidak mungkin alam yang sebegini luas melalui peredaran masa, siang dan malam, pergerakan bulan, bintang dan matahari yang begitu teratur kesemuanya berlaku tanpa ada pencipta dan pentadbirnya. Hanya manusia yang rosak akalnya mengatakan bahawa tuhan tidak wujud atau alam ini terjadi dengan sendiri.

Mana mungkin pergerakan makhluk yang tidak bernyawa sebesar bulan dan matahari berlaku tanpa ada yang menentukan perjalanannya.

Mana mungkin kejadian malam dan siang, perubahan musim sepanjang tahun, perubahan angin dan turunnya hujan terjadi dengan sendiri tanpa ada yang mengurusnya.

Kalaulah dikatakan sebuah kapal belayar di lautan yang luas tanpa nakhodanya, lalu ia tiba di destinasinya dengan selamat nescaya tiada yang mempercayai cerita tersebut.

Ini kerana akal yang sejahtera akan mengatakan bahawa kapal tersebut pasti akan hanyut dibawa ombak atau karam di lautan dipukul ombak besar. Begitu juga akal yang sejahtera tidak akan mempercayai bahawa sebuah lori boleh mengangkut barangan dari Perlis ke Kuala Lumpur melalui selekoh dan simpang, mendaki bukit dan menuruninya tanpa ada pemandunya.

Maka kenapakah sebahagian manusia percaya bahawa pergerakan yang terjadi di langit dan di bumi seperti bulan, matahari, angin dan hujan berlaku secara semula jadi tanpa ada pencipta dan pentadbirnya? Sudah tentulah pengingkaran kewujudan tuhan ini lahir daripada gagalnya akal manusia berfungsi dengan betul disebabkan ia dikuasai hawa nafsu dan syaitan.

 

2. Beriman bahawa Allah merupakan Rob bagi sekalian alam tanpa ada sekutu bagiNya.

Kalimah ‘Rob’ banyak disebutkan di dalam Al Quran dan hadis. Adalah menjadi kewajipan ke atas kita sebagai seorang muslim memahami makna kalimah tersebut. Pengetahuan tentangnya merupakan kunci utama untuk kita mengenali Allah seterusnya menjadi orang yang mengikhlaskan pengibadatan hanya kepadaNya dan untukNya.

Kejahilan tentangnya menjadikan manusia teraba-raba di dalam agama bahkan mengingkari iktikad murni tentang ‘Rob’ yang sepatutnya mereka beriman dengannya.

Setiap manusia yang menunaikan solat menyebut kalimah ini (Rob) siang dan malam. Dia membaca di dalam solatnya:

الحمدلله رب العالمين

“Segala puji bagi Allah yang merupakan Rob bagi sekalian alam”
– Surah Al-Fatihah

Apakah makna ‘Rob’? Sekiranya dirujuk kepada terjemahan, ia diterjemahkan dengan makna tuhan. Namun kalimah ‘Ilah’ juga mempunyai terjemahan yang sama. Kenapakah Allah menggunakan 2 kalimah yang berbeza di dalam Al Quran untuk merujuk kepada diriNya? Inilah perkara yang perlu kita pelajari untuk mengenal Allah dan memahami aqidah yang betul tentang mentauhidkan Allah.

Rob membawa makna pencipta, penguasa dan pentadbir. Apabila kita mengatakan Allah merupakan Rob bagi sekalian alam ia membawa erti keimanan kita bahawa yang mencipta, mentadbir dan menguasai alam ini adalah Allah.

Dia yang menghidupkan dan mematikan, dan Dia yang memberi rezeki. Tiada selain Allah yang melakukan perkara tersebut. Apabila kita membaca Al Quran maka kita dapati aqidah inilah yang ditegaskan di dalam ayat ayatnya. Firman Allah تبارك وتعالى :

{إن ربكم الله الذي خلق السماوات والأرض في ستة أيام ثم استوى على العرش يغشي الليل النهار يطلبه حثيثا والشمس والقمر والنجوم مسخرات بأمره ألا له الخلق والأمر تبارك الله رب العالمين}

[الأعراف : 54]

“Sesungguhnya Rob kamu adalah Allah yang mencipta langit dan bumi dalam tempoh enam hari. Kemudian Dia berada di atas Arasy. Dia menjadikan malam menutup siang hari yang mana ianya berlaku dengan pantas. Matahari, bulan dan bintang tunduk dengan perintahNya. Ketahuilah bahawa milikNya penciptaan dan urusan. Maha Agong Allah yang merupakan Rob sekalian alam “
-Surah Al-A’rof, Ayat 54.

FirmanNya lagi:

{ولقد خلقنا الإنسان من سلالة من طين (12) ثم جعلناه نطفة في قرار مكين (13) ثم خلقنا النطفة علقة فخلقنا العلقة مضغة فخلقنا المضغة عظاما فكسونا العظام لحما ثم أنشأناه خلقا آخر فتبارك الله أحسن الخالقين (14)}

[المؤمنون : 12-14]

“Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia daripada gabungan daripada tanah. Kemudian Kami jadikannya titisan air yang berada di tempat yang kukuh. Kemudian Kami jadikan titisan air tersebut bertukar kepada segumpal darah, lalu Kami jadikan darah tersebut bertukar kepada seketul daging. Kemudian Kami jadikan daging tersebut tulang temulang. Kemudian Kami salut tulang temulang tersebut dengan daging. Kemudian Kami bentuk kejadian yang lain (dengan ditiupkan roh) . Maha Agong Allah yang merupakan sebaik baik pencipta “
– Surah Al-Mukminun, Ayat 12 – 14.

Ayat-ayat di atas dan yang lainnya menyatakan tentang rububiyah Allah atau dengan perkataan yang lain ciri-ciri Rob. Ianya banyak disebutkan di dalam Al-Quran untuk mengingatkan manusia tentang pencipta mereka dan segala yang ada di alam ini.

Apabila manusia mengakui bahawa tiada selain Allah yang melakukan perkara di atas maka mereka telah mentauhidkan Allah pada rububiyahNya. Inilah yang dipanggil tauhid rububiyah.

Apabila manusia memahami tentang tauhid ini maka ia menuntut mereka agar mengakui dan beriman bahawa tiada yang berhak disembah dan dilakukan ibadat kepadanya melainkan Rob tersebut iaitu Allah.

You might like

© 2024 Dengar Sunnah - WordPress Theme by WPEnjoy
%d bloggers like this: