Hakikat Ibadat

Ditulis oleh Zulhizam Ibnu Hashim

بسم الله الرحمن الرحيم

Apabila manusia mengetahui bahawa mereka dicipta untuk beribadat kepada Allah, maka tidak boleh tidak mereka perlu mengetahui bagaimana hendak menunaikan tanggungjawab tersebut sebaik mungkin. Cara untuk mengetahuinya adalah dengan memahami hakikat ibadat. Tanpa memahami dan menghayati hakikat tersebut, ibadat yang dilakukan tidak mendatangkan natijah yang baik, lesu dan banyak cacat celanya.

Kata al-Hafidz ibnu Kathir (rohimahulloh):

“Hakikat ibadat adalah apa yang berhimpun padanya kesempurnaan rasa kasih, rasa takut dan pengharapan”.

Oleh itu kesempurnaan dalam ibadat akan tercapai dengan berhimpunnya perkara berikut pada diri seseorang:

  1. Kesempurnaan rasa kasih. Kasihnya seseorang pada sesuatu perkara akan menjadikan orang tersebut sanggup melakukan apa sahaja demi perkara yang dia cintai.
  2. Kesempurnaan rasa takut. Perasaan ini akan menjadikan seseorang mengagongkan perkara yang dia takuti seterusnya menghindarkan diri daripada perkara yang mengundang kemurkaannya.
  3. Kesempurnaan pengharapan. Perasaan ini lahir daripada keyakinan seseorang kepada sesuatu yang agong. Bila kuat hatinya mengharap kepada perkara tersebut maka dia tidak bergantung melainkan kepada perkara yang agong tersebut.

Apabila anda mengamati perkara dia atas, anda akan dapati kesempurnaan ibadat hanya akan tercapai apabila perkara-perkara tersebut berhimpun di dalam diri manusia.

Rasa kasih yang kuat mendorong manusia melakukan apa saja perkara yang diperintahkan oleh Allah dan disukaiNya.

Rasa takut yang kuat menghalang manusia daripada melanggar perintah Allah atau melakukan perkara yang tdk disukaiNya.

Pengharapan yang kuat menjadikan manusia sentiasa bergantung kepada Allah, bukan kepada sebab atau sesama manusia.

Kuatnya gabungan perkara di atas akan menentukan sejauh mana darjat taqwa seseorang dan martabatnya di sisi Robnya.

نسأل الله كمال العبودية له

You might like

© 2024 Dengar Sunnah - WordPress Theme by WPEnjoy
%d bloggers like this: