Peranan Rasa Kasih dalam Pengibadatan Kepada Allah

Ditulis oleh Zulhizam Ibnu Hashim

بسم الله الرحمن الرحيم

Umum mengetahui di antara perkara utama yang menggerakkan seseorang bertindak atau melakukan sesuatu adalah perasaan suka atau kasih yang ada dalam dirinya. Sukanya dan cintanya seseorang kepada wang ringgit mendorongnya bekerja dan mengerah tenaga untuk mendapatkan wang tersebut. Fikirannya tertumpu kepada cara untuk memperolehi pendapatan yang tinggi. Segala urusan yang kurang penting dan mungkin juga lebih penting diketepikan demi mencapai cita-citanya.

Begitulah juga kasih seorang lelaki kepada wanita, kasih kepada permainan, hiburan dan sebagainya mendorongnya melakukan pengorbanan demi perkara yang dicintai.

Namun orang yang berakal meletakkan rasa kasihnya di tempat yang tinggi. Dia mengasihi sesuatu yang mulia lagi agong. Sesuatu yang mendatangkan ke sejahteraan dan juga kemuliaan bila dia mengasihinya iaitu Rob yang menciptanya dan segala isi alam ini.

Kasih kepada Allah merupakan kasih sejati yang mendatangkan ketenangan, kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Begitu juga kasih kepada rasulNya. Adapun kasih kepada dunia seperti wanita, wang, harta, pangkat dan sebagainya, ia mengundang kesengsaraan dan kehinaan apabila diutamakan.

Orang yang kasih kepada Allah akan sentiasa teringatkanNya. Lalu dia mencari jalan dan cara untuk mencapai kasih sayang tersebut. Bahkan mengerahkan seluruh tenaga dan usahanya untuk memperolehi cinta sejati tersebut. Segala perintahNya ditaati. Hatinya sentiasa rindukan pertemuan dengan Robnya. Jika dituntut menukarkan nyawanya dengan kasih Allah dia sanggup menggadaikannya. Tiada yang lebih bernilai disisinya daripada kasih sayang Allah.

Ciri-ciri inilah yang menjadikan seorang hamba dapat menyempurnakan tanggungjawab ubudiyyah kepada Allah.

Firman Allah:

والذين ءامنوا أشد حبا لله

“Dan orang-orang yang beriman lebih hebat kasihnya kepada Allah”

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

لا يؤمن أحدكم حتى يكون الله ورسوله أحب إليه مما سواهما

“Tidak beriman salah seorang daripada kamu sehinggalah Allah dan rasulNya lebih dia kasihi daripada selain kedua-duanya”

Moga Allah mengurniakan kasih yang murni kepadaNya di dalam diri kita.

You might like

© 2024 Dengar Sunnah - WordPress Theme by WPEnjoy
%d bloggers like this: