Tauhid dan Ibadat

Ditulis oleh Zulhizam Ibnu Hashim
Shared publicly – Jul 6, 2014, 1:50 PM

بسم الله الرحمن الرحيم

Ibadat merupakan keperluan di dalam kehidupan makhluk yang hidup di alam ini. Setiap yang bernama makhluk sama ada manusia, jin, haiwan dan sebagainya merupakan sesuatu yang dicipta. Ada yang mewujudkannya daripada tiada dan menentukan perjalanan hidupnya. Tidak mungkin mereka wujud dengan sendiri tanpa ada pencipta atau mereka mencipta diri mereka sendiri. Oleh itu Allah menempelak manusia yang mengingkari kewujudanNya di dalam ayat berikut:

أم خلقوا من غير شيء أم هم الخالقون

“Adakah mereka diwujudkan tanpa ada yang mencipta atau merekalah penciptanya?”

Oleh itu makhluk memerlukan kepada penciptanya dan tunduk dibawah kekuasaannya.

Siapakah pencipta manusia, jin, haiwan, bulan, matahari dan segala yang ada di langit dan di bumi? Sudah tentu jawapannnya ialah Allah, bukan berhala, bukan isa, bukan jin dan bukan seluruh yang bernama makhluk. Setiap yang dicipta daripada tiada kepada ada merupakan sesuatu yang tidak memiliki apa-apa. Justeru itu ia tidak layak disembah. Hanya yang kuat dan berkuasa sahaja yang layak di sembah iaitu pencipta alam maya ini. Dialah yang menentukan perjalanan alam ini dan memberi rezeki kepada segala makhluk yang wujud di alam tersebut. Oleh itu Dialah satu-satunya yang layak di sembah. Segala sembahan selain Allah adalah batil.

Oleh kerana sembahan merupakan pengibadatan kepada sesuatu, maka manusia mestilah melakukan ibadat tersebut kepada yang berhak sahaja atau dengan perkataan yang lain ‘mengikhlaskan ibadat’. Daripada penjelasan di atas, kita dapat memahami bahawa yang berhak disembah hanyalah pencipta dan penguasa alam ini iaitu Allah. Pengikhlasan ibadat kepada Allah inilah yang dipanggil tauhid yang mana manusia dicipta kerananya.

Firman Allah عز وجل

وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون

“Dan Aku tidak mencipta jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadat kepadaKu”.

Segala bentuk amal ibadat sama ada solat, sedekah, pengharapan, doa dan sebagainya hanya untuk Allah sahaja. Tidak boleh manusia mengharap dan berdoa kepada selain Allah. Tidak boleh mereka sujud dan mengagongkan selain Allah. Inilah tauhid.

Sesiapa yang memesongkan pengibadatan tersebut kepada selain Allah maka dia melakukan pengibadatan yang batil dan tidak ikhlas di dalam ibadat. Perbuatan tersebut merupakan kezaliman yang besar kerana menyembah sesuatu yang tidak layak disembah.

Firman Allah tentang Luqman:

يا بني لا تشرك بالله ان الشرك لظلم عظيم

“Wahai anakku, janganlah kamu mrnyekutukan Allah. Sesungguhnya kesyirikkan merupakan kezaliman yang amat besar”

You might like

© 2024 Dengar Sunnah - WordPress Theme by WPEnjoy
%d bloggers like this: