Pengajaran Daripada Tragedi MH370

Ditulis oleh Zulhizam Ibnu Hashim
Shared publicly – jul 25, 2014, 3:32 pm

بسم الله الرحمن الرحيم

Tragedi kehilangan pesawat MAS beberapa bulan yang lalu memberi pengajaran penting kepada umat islam. Sehingga ke hari ini pesawat tersebut tidak ditemui.

Apa yang hendak ditekankan berkaitan tragedi ini adalah persoalan Aqidah yang diabaikan oleh ramai manusia.

Adakah bomoh mengetahui perkara yang ghaib? Justeru itu manusia boleh pergi kepadanya untuk mengetahui sesuatu yang hilang?

Tragedi MH370 sebahagian daripada bukti bahawa tukang tilik atau bomoh tidak mengetahui perkara yang ghaib. Begitu juga jin. Al-Quran telah menjelaskan bahawa pengetahuan tentang perkara yang ghaib hanyalah milik allah. Firmannya:

قل لا يعلم من فى السماوات والأرض الغيب إلا الله

“Katakanlah: tiada siapa pun yang berada di langit dan di bumi mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”

Semua makhluk termasuk jin dan manusia tdk mengetahui perkara yang ghaib. Lihatlah kepada semulia-mulia manusia iaitu nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم baginda menafikan bahawa baginda mengetahui perkara yang ghaib sebagaimana di dalam firman Allah:

ولو كنت أعلم الغيب لاستكثرت من الخير وما مسني السوء

“Kalaulah aku mengetahui perkara yang ghaib nescaya aku memperbanyakkan kebaikan dan perkara buruk tidak akan menimpaku”- al-A’rof: 188

Allah juga menafikan bahawa jin mengetahu perkara ghaib sebagaimana dalam kisah nabi sulaiman.

Firman Allah:

فلما قضينا عليه الموت ما دلهم على موته الا دابة الأرض تأكل منسأته فلما خر تبينت الجن أن لو كانوا يعلمون الغيب ما لبثوا فى العذاب المهين

“Apabila kami menentukan kematiannya (sulaiman), tiada yang menunjukkan kepada mereka (jin) tentang kematian tersebut melainkan anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka apabila sulaiman tersungkur nyatalah kepada jin sekiranya mereka mengetahui perkara yang ghaib mereka tidak akan berterusan berada dalam azab yang hina”- as-Saba’ 14.

Oleh itu ingatlah wahai orang yang beriman!

Bomoh atau jin tidak mengetahui perkara yang akan datang, tidak mengetahui barang yang hilang. Maka janganlah kamu pergi kepada mereka kerana perbuatan mereka adalah kekufuran. Janganlah kamu percaya kepada mereka kerana itu juga kekufuran. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم:

من أتى كاهنا فصدقه بما يقول فقد كفر بما أنزل على محمد

“Siapa yang datang kepada tukang tenung lalu mempercayai apa yang dikatakan olehnya maka dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad”

Moga Allah menjaga aqidah kita. Amin

You might like

© 2024 Dengar Sunnah - WordPress Theme by WPEnjoy
%d bloggers like this: